KUALA LUMPUR 12 Nov. – Malaysia sudah menyumbangkan sejumlah RM45 juta kepada rakyat Palestin di Gaza sejak serangan Israel pada 7 Oktober 2023, kata Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin.
Beliau berkata sumbangan itu disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sudah dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah sejak Oktober 2023.
“Situasi kini semakin mencabar selepas pintu sempadan Rafah ditutup sejak 7 Mei lalu dan kini, satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi adalah melalui jambatan Raja Hussein di Jordan.
Oleh sebab itu, kita sedang mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan kerajaan Jordan dan kita mendapat undangan dan bersetuju untuk turut serta dalam misi bantuan melalui jambatan ini dengan kerjasama kerajaan Jordan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad berkata Malaysia komited untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai negara anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, katanya negara juga terus bersuara lantang memperjuangkan hak mutlak rakyat Palestin dan dengan tegas menyatakan pendirian negara pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung (PBB) baru-baru ini.
Beliau berkata, ia menyatakan bahawa hak rakyat Palestin ke atas tanah mereka yang dirampas mesti dikembalikan sepenuhnya, serta pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berlandaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
