SEPANG 12 Nov. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya semua penjawat awam menjalankan tugas mengikut undang-undang dan tidak melanggar peraturan, kata Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika beliau diterima menghadap baginda di Istana Negara pagi ini.
“Pagi tadi saya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Yang di-Pertuan Agong bertitah orang kerajaan buatlah kerja ikut peraturan dan jangan langgar peraturan.
“Yang di-Pertuan Agong bertitah pegawai kerajaan tetap ada dalam kerajaan, ahli politik ‘come and go’ (datang dan pergi), ‘even’ (malah) Agong pun ‘come and go’ (datang dan pergi), jadi jalankan kerja dengan penuh integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2024 di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Shamsul Azri dan Mohd Dusuki Mokhtar yang baharu dilantik sebagai Peguam Negara di Istana Negara.
Dalam pada itu, Shamsul Azri mengingatkan sebarang pengurusan program atau projek perlu dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan integriti bagi mencapai tatakelola terbaik.
Katanya, ia akan dapat meningkatkan keyakinan dan jangkaan pemegang taruh ke atas perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, prestasi Projek Pembangunan Rolling Plan (RP) 4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sehingga 4 November lalu, merekodkan pencapaian sebanyak 65.82 peratus atau RM59.24 bilion daripada RM90 bilion yang diperuntukkan.
Ia membabitkan 8,719 program serta projek.
“Dalam hal ini, semua kementerian hendaklah terus berusaha keras bagi memastikan peruntukan pembangunan dapat dibelanjakan secara optimum serta melonjakkan prestasi perbelanjaan melebihi 95 peratus untuk RP4.
“Bagi mencapai aspirasi RMK12 yang berbaki satu tahun sahaja lagi, saya ingin mengingatkan semua Ketua Setiausaha Kementerian untuk melaksanakan pendekatan tegas dan mesti bersifat reformatif terhadap pelaksanaan program atau projek pembangunan,” katanya.
Nnn
