Shamsul Iskandar calar imej PMX

SEPANG  17 Okt. – Tindakan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendedahkan ‘pengorbanannya’ berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah mencalar imej Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO,  Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Anwar pula masih membisu terhadap dakwaan Shamsul Iskandar itu.

“Shamsul adalah Ketua Setpol PMX. PMX macam merestui parti-parti dalam Kerajaan Madani mengkritik sesama sendiri,” kata Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu melalui Facebooknya.

Terdahulu tular video Shamsul Iskandar mendakwa beliau diminta oleh Presiden PKR untuk tidak mencabar kemenangan tipis lawannya, Ahmad Zahid Hamidi bagi kerusi  Parlimen Bagan Datuk pada PRU lalu.

Menurut Shamsul, beliau mahu pengiraan semula kertas undi berikutan perbezaan undi tipis sebanyak 348 dan ketika itu dia bersemangat untuk meneruskan perjuangan.

“Dia (Anwar) telefon, dia kata, ‘Okay saya kagum dengan anda punya kerja kuat di Bagan Datuk dan sebagainya. Tapi Sam, kita nak tubuh kerajaan. Zahid telah pun keluar surat tanda tangan untuk menubuhkan kerajaan’,” kata Shamsul dalam podcast “Apa Cerita”.

Mohd Puad turut mempersoalkan jika dibuat kiraan semula, apa jaminan Shamsul akan menang?

“Ada tempat, majoriti lebih kecil dari itu. Tetapi ia tidak mengubah keputusan walaupun kiraan semula dibuat,” ujarnya.

Dalam situasi itu, Mohd Puad mendakwa Shamsul Iskandar yang bersalah kerana beliau sepatutnya perlu mengutamakan moral bukan jawatan Anwar.

Justeru, beliau mempersoalkan apa motif Shamsul Iskandar membawa cerita karut itu sekarang dan menasihatkan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu membuat laporan polis.

“Lebih baik dia buat laporan polis. UMNO tidak rugi apa apa. Bagan Datoh tetap milik UMNO. Imej PMX yang calar,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment