KJ tunai janji belanja nasi lemak

AMPANG 14 Okt. – “Mestilah, suatu hari nanti saya hendak kembali (ke politik) sebab itu dunia asal saya. Tetapi, bila mahu kembali, saya akan ambil masa,” kata Khairy Jamaluddin selepas lebih setahun menjadi penyampai radio.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, suatu hari kelak, beliau pasti kembali semula ke kerjaya asal, iaitu dalam bidang politik tetapi buat masa ini selesa dengan hidup dan kerjayanya sebagai deejay dan tidak mahu tergesa-gesa kembali ke dunia politik.

Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ berkata demikian ketika mengulas mengenai hala tuju selepas meraih trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, Jumaat lalu.

Beliau ditemui pada siaran luar Hot FM menerusi segmen kendalian bersama Johan, Fara Fauzana dan AG, iaitu Bekpes Hot di Restoran Nasi Lemak Saleha Ampang di sini, hari ini.

Melalui acara itu, Khairy mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundinya  serta mengotakan janji dengan menjamu nasi lemak kepada pengundi yang memilihnya untuk merangkul trofi ABPBH 36.

Khairy yang mula bersiaran di konti Hot FM sejak 15 Februari tahun lalu, mengakui masih belum ada perancangan atau ketetapan, sama ada kembali ke dunia politik selepas lebih setahun menjadi penyampai radio.

Mengenai perancangan bersama Hot FM, Khairy berkata, beliau akan terus bersiaran dengan stesen radio di bawah Media Prima Audio (MPA) itu hingga kontrak tamat, akhir tahun ini.

“Saya tiada perancangan untuk berpindah. Cuma kontrak saya tamat, akhir tahun ini. Saya perlu berbincang dengan Hot FM sebab sudah menang (ABPBH 36) ini ‘rate’ (kadar bayaran) kena naik,” katanya berseloroh.

Lebih 500 pengunjung hadir sejak pukul 7 pagi bagi memeriahkan acara sambil mengambil peluang bergambar dengan barisan penyampai Hot FM. Trofi kemenangan KJ pada ABPBH 36 turut dipamerkan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia,  Mohd Effendi Omar.

Antara artis yang hadir memeriahkan suasana adalah Dolla, Ara Johari, Emmet Butterfingers dan Uyaina Arshad termasuk dua atlet paralimpik negara, Abdul Latiff Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Nnn

Related posts

Leave a Comment