Rabu hari tanpa gula di Parlimen

KUALA LUMPUR – Hari tanpa gula di Parlimen setiap Rabu sepanjang persidangan Parlimen berlangsung mulai minggu ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata program itu dijayakan bagi menerapkan gaya hidup yang lebih sihat khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Hari tanpa gula ini bukan saja akan membabitkan kakitangan Parlimen tetapi turut meliputi Ahli-Ahli Parlimen juga.

“Ini selaras dengan kempen gaya hidup sihat yang perlu kita amalkan bersama… ini termasuk teh tarik ye,” katanya ketika memulakan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, seiring penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lalu, sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok iaitu termasuk di bangunan Parlimen.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menetapkan merokok dan penggunaan rokok elektronik perlu melebihi jarak tiga meter dari bangunan.

“Oleh demikian pihak pengurusan Parlimen sediakan tiga lokasi yang bersesuaian untuk perkara tersebut iaitu berhadapan kafeteria di blok Ahli Parlimen dan pentadbiran, kawasan bersebelahan blok utama bertentangan dengan blok sementara dan berhadapan dewan serbaguna bersebelahan taman herba,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, Parlimen juga sudah melaksanakan projek Sistem Fotovolta Suria, sebagai sebahagian usaha menyokong dasar berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, Parlimen Malaysia merupakan antara yang terawal di dunia mengoptimumkan penggunaan tenaga solar dengan kapasiti 1.5 megawatt-peak sebagai inisiatif peralihan kepada sumber tenaga yang lebih lestari.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment