Jangan timbul keraguan RUU Mufti

PUTRAJAYA 12 Okt. – Tafsiran yang salah terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 hanya akan menimbulkan salah faham dan menghalang usaha murni kerajaan memperkukuh pentadbiran Islam di negara ini.

Justeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta semua pihak supaya tidak sesekali menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam berhubung RUU terbabit.

Beliau berkata, pelbagai dakwaan yang dibangkitkan segelintir pihak, antaranya berkaitan fungsi dan kuasa mufti di bawah sistem perundangan negara perlu diperbetulkan.

Dr Mohd Na’im menjelaskan RUU Mufti digubal bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“RUU ini memperuntukkan sembilan bahagian iaitu bahagian permulaan, mufti dan timbalan mufti, jawatankuasa fatwa, pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, jawatankuasa falak syarie, jawatankuasa rukyah hilal, jawatankuasa pengawasan pengajaran agama Islam dan perunding akidah serta pelbagai.

“Menerusi RUU Mufti, pengasingan kuasa antara jabatan agama Islam, mufti dan mahkamah syariah akan kelihatan lebih jelas. Pentadbiran keadilan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan hukum syarak di bawah bidang kuasa mufti akan ditadbir oleh akta berasingan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.

Beliau menegaskan, penggubalan RUU itu sebahagian daripada usaha kerajaan memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam, seterusnya menjamin hak keadilan umat Islam di Malaysia.

Sebelum ini terdapat, segelintir pihak tampil menyuarakan bantahan terhadap RUU terbabit termasuk beberapa kumpulan dari Sabah dan Sarawak yang mendakwa RUU itu melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menyifatkannya serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.

Sisters In Islam (SIS) pula mendakwa, meluluskan Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan memberikan kuasa tanpa kawalan kepada pihak berkuasa agama kerana mereka akan kebal terhadap tindakan undang-undang.

Menjawab pelbagai tohmahan itu, Mohd Naím berkata, dakwaan penggubalan RUU itu menggugat kebebasan warga negara adalah tidak benar sebaliknya seseorang individu mempunyai hak kebebasan sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya kebebasan itu tidak bersifat mutlak kerana dibataskan Perkara 8(5)(a), 10, dan 11(5) dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan ialah untuk hidup beragama, bukanlah hidup tidak beragama. Hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri, atau ketua agama.

“Dalam penentuan ajaran agama Islam yang sebenar maka ia hendaklah berlandaskan hukum syarak. Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan adalah ciri sebuah negara berdaulat kerana tiada seorang pun bebas melakukan sebarang pelanggaran terhadap prinsip keluhuran perlembagaan,” katanya.

Beliau turut menjawab tindakan segelintir pihak yang mempertikai kuasa mufti dengan alasan penjawatnya tidak dipilih oleh rakyat.

“Sebagai contoh, mengikut Seksyen 35 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), ketua pengarah keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga diperuntukkan kuasa untuk melarang penggunaan apa-apa loji atau bahan yang pada pendapatnya mungkin akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang semasa bekerja.

“Kuasa yang dilaksanakan oleh mana-mana individu (menjawat jawatan) adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh akta mengikut bidang kepakaran masing-masing. Pelantikan mereka dibuat melalui undang-undang dan bukannya secara pentadbiran semata-mata,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat menghormati fatwa dikeluarkan mufti kerana ia adalah pihak berkuasa yang berautoriti untuk memberi nasihat mengenai hukum syarak sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 33 Akta 505 (Fasal 4 RUU Mufti).

Nnn

Related posts

Leave a Comment