Israel mampu serang mana-mana titik Asia Barat

TEL AVIV – Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mempunyai “keupayaan untuk mencapai dan menyerang di mana-mana titik di Asia Barat.”, kata Ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi.

Beliau semasa lawatannya ke pangkalan udara Tel Nof berhampiran Tel Aviv sebelum ini berkata, musuh-musuh yang tidak memahami perkara ini sehingga kini, akan memahaminya tidak lama lagi.

“Kami akan bertindak balas, kami tahu bagaimana untuk mengenal pasti sasaran penting, kami tahu bagaimana untuk menyerang dengan tepat dan dengan kekuatan,” katanya merujuk pada serangan Iran ke atas Israel pada Selasa lalu.

Selepas menyatakan Iran melepaskan sekitar 200 peluru berpandu ke arah Israel pada Selasa, Halevi menyifatkan kerosakan akibat serangan itu sebagai “agak kecil.”

Halevi juga berkata, IDF merancang untuk “menguatkan pasukan mereka” semasa meneruskan operasi di rantau ini.

Sementara itu, Benjamin Netanyahu berkata, seluruh Israel itu akan “teguh bersatu” sambil mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga lapan tenteranya yang terkorban di Lubnan, pada Rabu.

Dalam hantaran di platform X, Perdana Menteri Israel itu mendakwa: “Kami berada di tengah-tengah peperangan yang sukar menentang paksi kejahatan Iran yang bertujuan untuk memusnahkan kami. Ini tidak akan berlaku – kerana kami akan berdiri bersama dan dengan bantuan Tuhan – kami akan menang bersama-sama.”

Beliau mengakhiri mesejnya dengan berikrar Israel akan mengembalikan semula tebusan yang diculik di selatan, mengembalikan penduduk ke utara dan akan “menjamin keabadian Israel.”

Dalam pada itu, seramai lapan tentera rejim Zionis terbunuh ketika berhadapan dengan pasukan pejuang Hezbollah di Lubnan.

Kesemua mereka maut dalam dua pertempuran berasingan di selatan Lubnan – salah satunya ialah serangan hendap berhampiran terowong Hezbollah – selepas Yahudi melancarkan pencerobohan darat terhad di sana minggu ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment