Israel bersiap serang Hizbullah melalui darat

ISRAEL dilaporkan bersiap siaga untuk kemungkinan melakukan serangan darat bagi memerangi Hizbullah di Lubnan selepas melancarkan bedilan bertubi-tubi dari udara semalam.

Ketua tentera Israel Jeneral Herzi Halevi dilaporkan memberitahu tentera Israel di kawasan bersempadan dengan Lubnan.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis giat mengusahakan gencatan senjata 21 hari dalam menangani konflik semakin meruncing antara Israel dengan Hizbullah yang dikhuatiri mencetuskan peperangan lebih meluas di Asia Barat.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata Paris dan Washington akan memberi perincian usul mereka berhubung gencatan senjata sementara di Lubnan itu dalam masa terdekat.

“Kami berharap kedua-dua pihak terbabit menerimanya tanpa bertangguh, demi melindungi orang awam dan membolehkan rundingan diplomatik bermula,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), lewat semalam.

Semalam, Israel memperluas serangan udara di Lubnan sehingga menyebabkan sekurang-kurang 72 mangsa terkorban, menurut kompilasi Reuters berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan.

Terdahulu, kementerian itu menyatakan sekurang-kurang 223 mangsa mengalami kecederaan.

Timbalan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Robert Wood pula memberitahu UNSC bahawa Washington sedang bekerjasama dengan negara lain untuk membendung peningkatan ketegangan dalam konflik itu.

Selain itu, ia bagi membolehkan rakyat di Lubnan dan Israel yang terkesan untuk pulang semula ke kediaman masing-masing, serta membuka laluan perbincangan bagi penyelesaian diplomatik yang lebih meluas.

Bercakap kepada pemberita sebelum mesyuarat UNSC, Duta Israel ke PBB, Danny Danon pula mendakwa bahawa Israel akan mengalu-alukan gencatan senjata dan jalan penyelesaian secara diplomatik.

Namun sekiranya langkah diplomasi gagal, katanya, Israel akan menggunakan segala cara yang ada untuk mencapai matlamat disasarkan.

Danon turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadualkan tiba di New York, hari ini, dan berucap pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA), esok.

Sementara itu Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi ketika ditemui sebelum mesyuarat UNSC, menegaskan Tehran menyokong Hizbullah dan akan kekal dengan pendirian terbabit sekiranya keadaan konflik di Lubnan semakin buruk.

Manakala Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pula menekankan bahawa ‘perang habis-habisan’ mesti dielakkan sama sekali.

“Marilah kita menyatakan dalam satu suara yang jelas, hentikan pembunuhan dan pemusnahan. Tolak retorik dan ugutan. Berundur dari ‘tebing’ itu,” katanya kepada UNSC.

Nnn

Related posts

Leave a Comment