BAYAN BARU 22 Sept.- Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang sebelum ini disebut-sebut bakal memimpin kerajaan negeri dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang menggantikan Chow Kon Yeow yang menyandang jawatan itu sejak 1999.
Sim yang juga Menteri Sumber Manusia, sebelum itu memperoleh undi kedua tertinggi pada pemilihan 15 Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang 2024-2027 yang berlangsung di sini, hari ini.
Pada sidang media selepas pemilihan, beliau mengucapkan terima kasih atas keyakinan dan kepercayaan diberi kepadanya dan barisan jawatankuasa kepemimpinan baharu bagi sesi 2024 hingga 2027.
“Saya ingin menegaskan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang adalah pasukan perpaduan justeru saya menyeru semua ahli DAP supaya merapatkan saf dan berdiri sebagai sebuah pasukan yang kuat demi kepentingan rakyat dan parti kita.
Kami akan terus bekerja keraas untuk mencerminkan suara dan aspirasi rakyat Pulau Pinang tanpa kompromi agar DAP terus menjadi parti pilihan rakyat di Pulau Pinang,” katanya di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Arena SPICE) hari ini.
Sim, 42, turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Kon Yeow atas khidmat cemerlang dicurahkan Ketua Menteri itu kepada parti dan rakyat selama ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bertekad meneruskan usaha dan perjuangan yang didukung pemimpin-pemimpin parti sebelum ini dan akan memulakan tugas yang diamanahkan kepada mereka serta-merta.
“Pada satu pihak, kami akan menyokong sepenuhnya kerajaan negeri dipimpin Kon Yeow dan juga Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sendiri akan mengetuai delegasi untuk melawat setiap jawatankuasa Parlimen dan cawangan di seluruh negeri sekali gus menarik lebih ramai ahli baharu terutamanya anak muda untuk menyertai DAP Pulau Pinang,” katanya.
Sebagai rekod Sim sebelum ini menyandang jawatan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang selain sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP sejak Mac 2022.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang meraih undi tertinggi (1,247) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang menyambung legasi abangnya, Jagdeep Singh Deo yang mengambil alih jawatan itu daripada P Ramasamy, yang keluar parti tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari dan Yeoh Soon Hin yang masing-masing meraih 1,116 dan 1,225 undi dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying, yang memperoleh 827 undi kekal sebagai Setiausaha DAP Pulau Pinang sekali gus merealisasikan formula kombinasi Sim–Hui Ying yang dikatakan mendapat restu pemimpin utama parti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini dilapor mencadangkan Sim mengambil alih kepemimpinan manakala Hui Ying akan terus berkhidmat sebagai setiausaha negeri parti selain menyatakan bahawa gabungan kepimpinan Sim-Hui Ying akan menguatkan parti.
Nnnn
