SHAH ALAM 22 Sept. – Sekolah yang terkait dengan GISB Holdings (GISBH) dan rangkaiannya di negeri ini ditutup serta dibatalkan pendaftaran, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Abdul Aziz Mohd Yusof.
Katanya, langkah itu antara tindakan bersepadu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISBH dan rangkaiannya.
MAIS turut memastikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membuat keputusan segera bagi hasil kajian dan penelitian terhadap GISBH.
“Tindakan serius sudah diambil oleh JAIS berhubung perkara ini dan laporan berkaitan akan dibentangkan kepada MAIS dalam Mesyuarat MAIS yang akan diadakan pada 24 September ini.
Begitu juga dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor berhubung keputusan fatwa yang akan bersidang pada 30 September ini bagi memutuskan persoalan berkaitan GISBH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, MAIS dan semua agensi hal ehwal Islam di Selangor menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Menurut beliau, semua agensi hal ehwal Islam di negeri ini sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH atau rangkaiannya yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dakwaan penglibatan sekolah Islam di Selangor dalam kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sebenar.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila dikejutkan dengan berita siasatan PDRM terhadap kegiatan GISBH dan rangkaiannya sebaik baginda berangkat pulang dari luar negara.
Baginda juga kesal dan kecewa kerana perkara itu berlanjutan untuk suatu tempoh lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menanganinya.
Susulan itu, baginda menitahkan semua agensi agama Islam Selangor bersama PDRM (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.
Nnn
