KLUANG 13 Sept. – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Presidennya, Mukhriz Mahathir, berkata parti itu masih berpegang teguh dengan prinsip iaitu akan bersama dengan pihak selain UMNO.
“Kita sudah bincangkan perkara ini secara dalaman dan kita rasakan mungkin belum sesuai masanya lagi untuk Pejuang menawarkan diri bertanding dalam PRK (Mahkota)
“Jadi di PRK ini kami tak menawarkan calon, tetapi tak bermakna kita tak boleh bergerak untuk memahami apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh masyarakat di sini sebagai persiapan untuk kita menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang
“Ada juga pihak lain yang minta tolong, jadi kita akan membuat keputusan, tetapi secara umumnya saya pernah menyatakan sebelum ini pun di mana ada UMNO kami mesti ada, jadi di situ boleh agaklah siapa yang kita akan sokong,” katanya pada sidang media pada perjumpaan ahli Pejuang di sini hari ini.
Beliau berkata, Pejuang sudah lama menggerakkan jentera melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di daerah ini sejak sebelum PRK DUN Mahkota.
“Di Johor, Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang menguasai dan disokong juga oleh Pakatan Harapan (PH) jadi nampaknya kita kena sokong PN kalau begitu,” katanya.
