Kedah terima saranan Pulau Pinang

BANGI 2 Sept. – Kedah akan membawa isu berhubung tuntutan bayaran caj air mentah daripada Pulau Pinang ke mahkamah, seperti disarankan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Kon Yeow meminta kerajaan Kedah berbuat demikian supaya ia boleh diputuskan undang-undang.

“Pulau Pinang yang kata bawa ke mahkamah, jadi kita lakukan. Dia (Kon Yeow) yang cakap jika nak tuntut bayaran, kena bawa ke mahkamah.

Dia yang suruh, bukan saya yang nak. Bacalah kenyataan dia, kita akan buat,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak State Government 4 (SG4) di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kedah akan terus menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang yang ketika ini mengambil 84 peratus sumber airnya dari Sungai Muda, Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, berkata negeri jiran itu masih gagal membuat bayaran walaupun satu sen kepada Kedah biarpun tuntutan dibuat sejak 2010.

Susulan itu, Kon Yeow memaklumkan, kerajaan Pulau Pinang tidak pernah menerima tuntutan melalui proses perundangan mahkamah berhubung isu berkenaan walaupun sudah lama dibangkitkan.

Katanya, jika kerajaan Kedah serius terhadap tuntutan berkenaan, negeri jiran itu seharusnya memulakan tuntutan melalui mahkamah supaya perkara itu dapat diputuskan mengikut undang-undang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment