“UMNO bukan milik abah saya”

KUALA LUMPUR 24 Ogos – “UMNO bukan milik abah saya,” itu penegasan Exco Wanita UMNO,  Nurulhidayah Ahmad Zahid, anak sulung Presiden UMNO.

Beliau sebaliknya menegaskan, parti yang sekian lama memayungi jatuh bangun orang Melayu itu adalah milik semua.

“Parti UMNO bukan milik individu. Bukan milik abah saya atau sesiapa pun. Ia milik kita semua, milik para perwakilan semua, anak cucu-cicit kita dan semua orang Melayu termasuk yang masih menunggu untuk masuk dalam saf pejuang UMNO.

Katanya , kesedaran dan rasa memiliki itu perlu, agar parti itu dapat kekal dipertahankan secara bersama.

“Siapa pun pemimpin tertinggi kita yang akan datang, saya yakin dengan semangat dan rasa kecintaan yang ada, terutamanya kekuatan daripada Wanita, UMNO pasti dipertahankan kerana UMNO bukan bahan dagangan sesiapa,” katanya.

Nurulhidayah atau dikenali sebagai Kak Long berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO mewakili Wanita di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Dalam perbahasan yang turut menggunakan kesan bunyi, slaid foto dan lagu yang senada dengan inti pati ucapan, beliau turut menyanyikan tiga lagu sebagai kaedah menyampaikan mesej tersirat kepada pimpinan parti,

Menyentuh sedikit kisah peribadi, Nurulhidayah mengakui pembabitannya dalam politik tidak disokong oleh Ahmad Zahid pada peringkat awalnya.

“Saya berada di sini kerana restu dan doa seorang ibu dan wanita bernama Hamidah Khamis, seorang ibu yang melihat minat anaknya untuk turut berjuang dan beraksi di pentas politik, membela saat saya mendapat tentangan oleh suaminya untuk berada di pentas politik yang sama.

“Bagaimanapun, saya percaya, itu dulu. Semoga selepas beliau (Ahmad Zahid) menyaksikan kepayahan saya menempatkan diri sebaris kepemimpinan UMNO yang ada, mungkin hatinya lembut dan semakin terbuka,” katanya.

Beliau juga meminta Ahmad Zahid selaku Presiden parti, mempertimbang meletakkan calon daripada Wanita bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, yang secara tradisinya disandang oleh wanita.

“Secara peribadi, saya tak la bermaksud nak minta kerusi Bagan Datuk (kawasan Ahmad Zad) tapi kalau bagi saya tak tolak,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk juga menyeru seluruh pemimpin dan perwakilan untuk menggunakan prinsip perkongsian kuasa dengan bijaksana terutamanya dalam usaha memantapkan parti.

Katanya, suara rakyat perlu dihormati dan dijunjung tinggi meskipun berlaku perubahan besar dalam landskap politik pada ketika ini.

“Kita telah menyaksikan perubahan besar landskap politik Malaysia dalam beberapa tahun terakhir. Dalam menghadapi tentangan dan peluang yang ada, kita semua bertanggungjawab untuk memastikan bahawa suara rakyat dihormati dan dijunjung tinggi.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen, kita berpegang kepada prinsip berkongsi kuasa bersama-sama rakan kita dari pelbagai kaum sejak berpuluh tahun.

Takdir telah membawa kita kepada satu fasa yang kita harus berkongsi kuasa dengan mereka yang pernah menjadi seteru,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment