Kapal kita masih perlu dibaiki – Puteri

KUALA LUMPUR  22 Ogos – UMNO perlu terus memberi perhatian dengan memperkukuhkan tiga teras utama iaitu agama, pendidikan dan ekonomi (3T) sebagai akar perjuangan bagi mengembalikan sokongan orang Melayu serta Bumiputera.

Ketua Puteri UMNO Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata UMNO perlu menjuarai dan memperkukuh 3T ini sebagai bekalan kepada anak muda dan naratif UMNO kepada pendokong dan penyokong UMNO.

“3T ini teras kita, inilah perjuangan kita, inilah bekalan kita kepada anak muda dan inilah naratif kita kepada pendukung dan penyokong kita. Inilah UMNO yang menjadi bayangkara atau penjaga hak-hak orang Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pimpinan parti serta ahli supaya tidak berasa selesa kerana masih banyak perlu dilakukan untuk ‘menutup’ lubang kerosakan pada ‘kapal’ yang sedang belayar.

“Kita sudah melalui zaman karam, zaman anak-anak kapal terkapai-kapai kelemasan, zaman cemas mencari semula haluan. Walaupun kita berjaya kembali semula berenang ke pantai, perlu diingat, kapal kita masih perlu diperbaiki.

Masih ada bocor di sana sini, yang perlu kita tampal kembali,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Sayap Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Katanya, usaha untuk mentransformasi parti perlu disegerakan atau selamanya, akan terus hidup dengan bayang-bayang sendiri.

Beliau mempersoal sudah lama isu pembaharuan parti diperkatakan dan diulang setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU), namun apa perkembangannya sekarang sehingga akhirnya ada yang melabelnya sebagai retorik.

“Sudah berapa lama kita bercakap mengenai pembaharuan UMNO. Isu ini dilaung, diulang-ulang setiap kali kita berhimpun. Adakah kita telah berjaya mencapainya? Adakah kita sudah diperbaharui? Adakah kita masih mengkaji? Atau sekadar melantun retorik dan janji?

“Kita perlu kembali kepada asas penubuhan parti, perjuangan yang kita bawa dalam landskap politik kontemporari ini, yang perlu selari dengan identiti parti. Namun adakah kita masih lagi memahami identiti parti kita hari ini?

“Kita perlu ada strategi dan pemahaman identiti yang selaras dengan perlembagaan UMNO. Justeru, isu ini kita perlu perhatian dan perbaiki dari semasa ke semasa agar rumah kita ini terus kukuh, tidak menyembah bumi. Rumah ini perlu kita jaga, ” katanya.

Tambahan juga, katanya strategi lama yang pernah dirangka dan dilaksanakan UMNO juga perlu ditukar kerana ia terlalu mudah untuk dibaca dan dijangka pihak lawan.

Oleh yang demikian, tegasnya UMNO perlu menyediakan rangka tindakan strategi baharu kerana ia mustahak untuk terus relevan dan kekal sebagai penjaga kepada orang Melayu dan Islam kerana parti amat sinonim dengan hal itu.

“Kenapa hari ini pengundi Melayu dan Bumiputera suam-suam kuku bersama UMNO? Kerana sokongan mereka kepada UMNO semakin pudar walaupun semakin banyak keistimewaan yang kita nikmati bersama,” katanya.

Justeru katanya, UMNO perlu bangkit membawa kembali kegemilangan UMNO dengan membuka minda dan hati, mengkaji sentimen dan menganalisis kelemahan parti berbanding mencari kesalahan parti lain.

“Kenalilah diri sendiri barulah kita dapat mengetahui kekurangan kita, seterusnya memperbaiki aspek penting dalam hidup kita buat semua ahli UMNO, ingatlah kita adalah duta kecil yang menjadi muka dan barisan hadapan parti ini, ” katanya.

Related posts

Leave a Comment