KUALA LUMPUR 20 Ogos – Perikatan Nasional (PN), blok pembangkang yang menyandang 17 daripada 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, mengikrarkan taat setia kepada Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ikrar berkenaan, juga kepada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dizahirkan melalui satu kenyataan Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam kenyataan itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas, memaklumkan ADUN PN Pahang menyokong titah Tengku Mahkota yang mahu siasatan dijalankan berhubung ucapan Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah tuanku,” kata ADUN Cheka itu.
Kenyataan itu menyusul sehari selepas Speaker DUN Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin meminta semua ADUN negeri itu menyatakan pendirian berhubung kenyataan Muhyiddin kerana Sultan Pahang adalah sebahagian daripada dewan perundangan negeri.
Selain itu, tegas Mohd Sharkar, isu itu juga membabitkan ‘air muka’ dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda sultan yang menjadi payung negeri.
DUN Pahang mengandungi 47 kerusi, termasuk lima ADUN lantikan. Daripada 17 ADUN pembangkang, Pas menyandang 15 kerusi, dua lagi diwakili Bersatu. Baki 20 kerusi lagi, termasuk tiga ADUN lantikan disandang Barisan Nasional (BN) dan 10 yang lain, termasuk dua ADUN lantikan diwakili Pakatan Harapan (PH).
Nnnn
