Hubungan Malaysia – India beri manfaat

NEW DELHI 20 Ogos –  Hubungan Malaysia dengan India sejak sekian lama memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara bersahabat itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau  berkata, hakikat itu terpacul ketika penerimaan sambutan secara rasmi dalam penuh suasana persahabatan pagi ini disambut Perdana Menteri India, Narendra Modi.

“Perbincangan kami tentunya akan menekankan aspek kerjasama erat kedua-dua negara, selain meneroka lapangan lain yang mampu memperkukuh hubungan persahabatan ini, Insya-Allah,” katanya di laman sosial, hari ini.

Terdahulu, Anwar diberi sambutan rasmi oleh rakan sejawat, Modi 9 pagi ini di kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan, di sini.

Anwar dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke India atas jemputan Modi, tiba di New Delhi semalam.

Turut serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Tiong King Sing; Menteri Luar, Mohamad Hasan, Menteri Digital, Gobind Singh dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selepas itu, Anwar diberikan penghormatan untuk meletakkan kalungan bunga di tugu Peringatan Gandhi, bapa kemerdekaan India, di Kompleks Peringatan Raj Ghat, disusuli dengan kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar.

Perdana Menteri kemudian mengadakan perjumpaan tertutup dengan Narendra Modi, disusuli perjumpaan empat mata membabitkan dua pemimpin itu, di kediaman rasmi Perdana Menteri India, Hyderabad House.

Ini diikuti majlis menandatangani dan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) dan penyerahan laporan Forum CEO Kedua India-Malaysia, di Dewan Khailash, juga di Hyderabad House.

Perdana Menteri kemudian diraikan pada majlis jamuan makan tengah hari dihoskan Modi dan selepas itu mengadakan pertemuan dengan Presiden India, Droupadi Murmu, di Rashtrapati Bhavan.

Perdana Menteri juga akan menyampaikan Syarahan Ke-50 Sapru House bertajuk ‘Ke arah Pembangunan Global Selatan, Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India’ pada acara anjuran Majlis Hal Ehwal Dunia India.

Lawatan rasmi hari kedua diakhiri dengan majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

(Foto fb PMX)

Related posts

Leave a Comment