Kurang 5 tahun tanah kubur Islam KL penuh

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Tanah Perkuburan Islam (TPI) kariah masjid di Kuala Lumpur khususnya di kawasan kepadatan tinggi diunjurkan akan penuh dalam tempoh kurang dari lima tahun lagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail, berkata 19 TPI kariah masjid di Kuala Lumpur pada masa ini mencapai penggunaan hampir 83 peratus.

Katanya setakat Julai 2024, baki keseluruhan TPI kariah di Kuala Lumpur hanya 9,957 lot atau 16.26 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan yang sedia ada sebanyak 61,235 lot kubur.

“Baki lot tanah perkuburan yang tinggal itu hanya boleh bertahan untuk menampung pengebumian jenazah bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tranformasi Tanah Perkuburan Islam dan Pengurusan Jenazah Tahun 2024 di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Katanya, terdapat tujuh Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) di bawah kendalian JAWI dan mempunyai kapasiti menempatkan sebanyak 145,257 jenazah.

Dan sehingga Julai 2024, lot kubur TPIRS hanya berbaki 15,606 lot atau 10.74 peratus sahaja dan dengan nisbah baki itu, TPIRS berkenaan dijangka mampu beroperasi untuk dua hingga empat tahun lagi.

“TPI di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Kuari, Cheras, Kuala Lumpur telah ditutup, manakala dua lagi TPI di Jalan Ampang hanya berbaki sekitar 400 lot dan dijangka mampu bertahan kurang daripada dua tahun.

“Situasi di TPI Putrajaya yang diselia oleh Perbadanan Putrajaya pula memaparkan situasi yang tidak banyak berbeza dengan ruang lot kubur yang masih berbaki 4,500 lot dan dijangka mampu bertahan untuk tempoh enam hingga tujuh tahun lagi,” katanya.

Mohd Ajib turut memaklumkan bahawa TPI kariah di Wilayah Persekutuan tidak lagi sesuai dinaik taraf kerana telah mencapai purata penggunaan sebanyak 82.11 peratus.

“Sukar untuk mencari kawasan tanah perkuburan baharu di Kuala Lumpur kerana kepadatan bandar dan pertambahan penduduk serta harga hartanah yang melambung tinggi.

“JAWI juga perlu mengambil langkah kontroversi, sama ada tebus guna tanah untuk meletakkan satu lagi lapisan kubur di atas atau menggali jenazah dan mengumpulkan tulang menjadi satu perempat daripada tanah dan tanah yang tinggal akan menjadi tanah perkuburan yang baharu,” katanya.

Jelasnya, walaupun kedua-dua tindakan itu dibenarkan oleh fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, ia akan menjadi kontroversi kerana menyentuh sensitiviti agama masyarakat.

“Beberapa idea sekular muncul berkait tanah perkuburan di taman. Terdapat cadangan untuk menaik taraf Raudhatul Sakinah menjadi taman hybrid dan taman awam untuk aktiviti riadah seperti berjoging dan berkelah.

“Untuk itu, JAWI perlu bertegas memperjuangkan hakikat Raudhatul Sakinah adalah tanah mulia tetap harus dipelihara,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment