ATM jangan terlibat rasuah – Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR 17 Ogos  – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertitah tidak akan memberi muka kepada mana-mana pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan gagal melaksanakan amanah sebagai pegawai tentera.

Titah baginda kerjaya ketenteraan menuntut amanah, kejujuran, pengorbanan serta taat setia yang tidak berbelah bahagi bukannya terlibat rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menyebabkan kedaulatan dan maruah negara tergadai.

“Justeru itu, jangan sekali-kali ada pegawai tentera yang terlibat dalam amalan rasuah terutamanya melibatkan urusan pembelian peralatan dan kontrak kerajaan.

“Saya juga pernah menjalani pelbagai latihan ketenteraan, oleh itu, jangan nak temberang,” titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana, Sungai Besi, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Penglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah mengingatkan kerajaan untuk sentiasa menitikberatkan amanah dalam semua urusan pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan tentera.

“Peralatan yang ingin dibeli mestilah bermutu tinggi dan memenuhi kehendak pasukan dan keperluan pertahanan negara, bukannya mengikut telunjuk pembekal atau agen yang menawarkan komisen.

“Saya sendiri yang akan menilai semua perolehan,” titah Baginda.

Kepada pegawai kadet yang ditauliahkan hari ini, Seri Paduka mengingatkan mereka perjalanan yang akan ditempuhi masih jauh kerana ada banyak lagi latihan dan kursus lain yang perlu dihadapi untuk menjadi pegawai tentera yang berkebolehan.

“Pesanan saya, saudara saudari mesti cekal dan tabah untuk terus berlatih dan menimba ilmu baharu bagi mengharungi keadaan dunia yang semakin mencabar dan menyesuaikan diri dengan teknologi pertahanan terkini.

“Jika ada yang tidak sanggup menghadapi asam garam kehidupan sebagai seorang pegawai tentera, silalah keluar baris,” titah seri paduka baginda.

Seramai 664 pegawai kadet yang ditauliahkan hari ini terdiri daripada mereka yang menamatkan latihan di Akademi Latihan Ketenteraan, Akademi Tentera Darat, Kapal Diraja Sultan Idris Pertama dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai selama enam bulan.

Majlis hari ini menyaksikan Leftenan Muda Ahmad Arif Izudin Mohamad Zin diiktiraf sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan.

Related posts

Leave a Comment