GUA MUSANG 17 Ogos – Selepas setahun jatuh ke tangan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan majoriti besar.
Calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie menang dengan majoriti sebanyak 3,372 undi dan mengalahkan calon Bersatu yang menggunakan lambang Pas, Mohd Rizwadi Ismail.
Dalam pertembungan satu lawan satu itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang memperoleh undi sebanyak 9,113 sementara Mohd Rizwadi atau lebih mesra disapa Ustaz Wadi memperoleh 5,741undi.
Pengumuman rasmi keputusan dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, pukul 9.35 malam ini.
BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM).
Kerusi DUN Nenggiri merupakan kawasan tradisi BN selama empat penggal sebelum calonnya kalah kepada calon PN Mohd Azizi Abu Naim dari Bersatu yang bertanding menggunakan logo Pas, pada PRN 12 Ogos 2023.
DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pengundi berdaftar dengan 20 pusat daerah mengundi (PDM) melibatkan 46 saluran.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.
Nnn
