Hampir 14,000 mohon warganegara lulus

GUA MUSANG 15 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan hampir 14,000 permohonan kewarganegaraan sejak ia diterima pada 2013, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau memberitahu daripada jumlah itu, 75 peratus adalah mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Pendaftaran Kewarganegaraan Dalam Keadaan Khas yang terbahagi kepada anak tidak sah taraf, anak jagaan dan anak angkat.

KDN turut meluluskan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan anak berusia kurang 21 tahun, di mana isteri warganegara selain anak lahir di luar negara dan suami warga asing.

“Selain itu, permohonan kategori isteri warganegara asing yang berkahwin dengan suami warga tempatan turut diselesaikan sekiranya mereka tinggal dan sudah beranak pinak di sini selepas tujuh tahun,” katanya selepas majlis ramah mesra di pejabat PKR di sini hari ini.

Sementara itu, berucap di majlis berkenaan, Saifuddin berkata, permohonan yang sudah diluluskan juga membabitkan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan MyKad.

“Permohonan terlalu banyak dan besar. Selama ini, dokumen (permohonan kewarganegaraan) tidak bergerak, ” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KDN memberi jaminan akan menyelesaikan sebanyak 14,000 kes permohonan warganegara di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sehingga Disember tahun ini.

Related posts

Leave a Comment