KUALA LUMPUR 8 Ogos – Lebih banyak bas diperlukan di Lembah Klang bagi menyokong rangkaian rel atau pengangkutan awam sedia ada, sebelum penyelarasan subsidi petrol RON95 dilaksanakan oleh kerajaan.
Menurut Jaringan Demokrasi Sosial Malaysia (SOCDEM), berdasarkan kajian pihaknya, rangkaian bas di negara ini terutama di Lembah Klang masih tidak mencukupi.
SOCDEM menjelaskan, negara hanya mempunyai sekitar 700 bas berbanding Singapura yang kira-kira satu pertiga daripada Lembah Klang mempunyai 5,800 bas dan London 8,643 bas dengan saiz populasinya hampir sama dengan Lembah Klang.
“Jelas bahawa memperluaskan sistem bas kita untuk melengkapkan rangkaian kereta api yang dibangunkan dengan baik adalah langkah yang perlu diambil,” kata SOCDEM dalam kenyataan.
SOCDEM berkata, kos pengangkutan yang tinggi selepas penyelarasan semula subsidi petrol akan memberi kesan kepada rakyat negara ini amnya.
Bagi 55 peratus rakyat Malaysia yang hidup bergantung kepada gaji, kenaikan kos pengangkutan tanpa jaringan pengangkutan awam yang lengkap akan menambah beban kos sara hidup mereka kecuali golongan yang mempunyai pendapatan tinggi.
Bagaimanapun, kesan ini dirasai oleh kebanyakan rakyat walaupun berdasarkan klasifikasi pendapatan mereka.
Golongan muda dan dewasa yang perlu bergerak jauh untuk peluang kerjaya dan akademik akan terhalang oleh pengangkutan awam yang tidak tersedia dan ratusan ringgit untuk petrol setiap bulan.
Selain itu, kata kenyataan itu, bagi mereka yang tidak boleh memandu, e-hailing dan teksi tidak lagi mampu dibayar kerana kenaikan harga petrol kemungkinan besar akan ditanggung oleh pengguna.
Justeru, melabur dalam pengangkutan awam, memperluaskan sistem bas untuk melengkapkan rangkaian kereta api yang dibangunkan dengan baik adalah langkah yang perlu diambil.
“Jika bandar kita adalah organisme hidup, kereta api adalah otak yang menyelaras aliran pergerakan keseluruhan dan bas pula adalah neuron yang menghubungkan kawasan-kawasan dengan lancar.
“Oleh itu, menyediakan lebih banyak bas adalah penyelesaian yang lebih ekonomik dan praktikal berbanding dengan memperluaskan rangkaian kereta api,” kata kenyataan itu.
Dengan penyelesaian berkenaan masa menunggu bas boleh dikurangkan untuk menjadikan pengangkutan awam pilihan yang lebih baik, seperti yang dibuktikan oleh bas bandar GoKL di mana masa menunggunya kini lebih pendek iaitu 15 minit.
Selain itu, wujudnya laluan baharu boleh menghubungkan laluan sedia ada antara satu sama lain, sekali gus mengurangkan masa transit dan tambang keseluruhan.
Pembuat dasar perlu mengutamakan pembangunan rangkaian bas untuk menyediakan pengangkutan yang mampu milik kepada penumpang.
Nnn
