Tubuh kumpulan individu terkemuka

PUTRAJAYA 8 Ogos – Malaysia mencadangkan supaya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menubuhkan kumpulan individu terkemuka susulan ketetapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pendudukan Israel.

Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata penubuhan kumpulan itu bertujuan menilai dan mengenal pasti langkah tepat untuk melaksanakan pandangan iaitu dalam konteks bidang kuasa sejagat dan untuk memastikan keseragaman dalam pemakaian undang-undang antarabangsa.

“Selain itu, OIC mesti secara kolektif mendesak agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghidupkan semula Jawatankuasa Khas Menentang Aparteid untuk menghentikan pendudukan haram Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) dan dasar apartheid terhadap rakyat Palestin.

OIC juga mesti mengambil peranan utama bersama dengan negara sehaluan serta meminta agar Sidang Tergempar ke-10 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mengenai isu Palestin disambung semula untuk membincangkan cara dan kaedah melaksanakan atau ‘memberi kesan’ terhadap pendapat dan nasihat ICJ,” katanya.

Malaysia menyuarakan pandangan itu dalam Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif di Peringkat Menteri-Menteri Luar OIC di Jeddah, Arab Saudi, semalam.

Mesyuarat itu yang diusul oleh Palestin dan Iran membincangkan jenayah kependudukan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan serta ancamannya terhadap kedaulatan Iran.

Dalam kenyataan semalam, Mohamad berkata, bantuan dan sokongan padu perlu diberikan dalam membina semula ekonomi dan mata pencarian rakyat Palestin selepas konflik.

“Ini adalah langkah utama yang akan memudahkan mereka kembali ke kehidupan seperti biasa. Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat untuk keamanan dan kestabilan Palestin,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, walaupun Malaysia sangat mengecam pembunuhan Ismail Haniyeh, semua pihak diminta untuk tenang dan mengelakkan keadaan bertukar menjadi krisis serantau dan global.

“Serangan di Tehran adalah usaha untuk menggagalkan rundingan damai di Asia Barat. Kita jangan jatuh dalam perangkap mereka. Kita mesti teruskan rundingan. Diplomasi adalah jalannya,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai jenayah Israel yang mesti dihentikan kerana dunia telah menyaksikan perbuatan keji mereka terlalu lama.

“Kita tidak boleh membiarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB diabaikan dan dipandang rendah lagi, “ katanya.

ICJ pada 19 Julai lalu memutuskan bahawa pendudukan Israel yang berterusan di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) adalah haram dan pada minggu berikutnya, Deklarasi Beijing mengenai Penamatan Perpecahan dan Pengukuhan Kesatuan Nasional Palestin telah dipersetujui, menyatukan 14 kumpulan Palestin.

Sementara itu, Mohamad berkata beliau juga mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan rakan sejawat dari Iran, Pakistan dan Palestin.

Nnn

Related posts

Leave a Comment