Wan Ahmad Fayhsal digantung enam bulan

UuKUALA LUMPUR 18 Julai – Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan dakwaan mengenai surat layang yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu yang berkuatkuasa hari ini diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Dua Ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan iaitu Hamzah Zainuddin (PN-Larut) dan Azli Yusof (PH-Shah Alam), sambil dicelah beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Pada 1 Julai lalu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau mendakwa menerima surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.

Beliau secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada sesi penggulungan usul itu hari ini, Azalina berkata, ketetapan perlu dibuat bagi mengelak budaya buruk dalam kalangan Ahli Parlimen, yang merujuk kepada perkara tidak sahih dalam Dewan.

Beliau menegaskan, Ahli Parlimen sebaliknya perlu mencari jalan menyiasat surat layang berkenaan, seperti merujuknya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), membuat laporan polis atau bertanya kepada menteri yang bertanggungjawab.

“Kita ini bertanggungjawab. Jika kita rujuk dokumen sahih, saya yakin kerajaan tidak ada masalah tapi jangan kita pakai surat layang sebab kita akan membuka ‘floodgate’, semua dalam Dewan guna surat layang.

“Tanggungjawab kita buat undang-undang, bukannya tuduh ikut surat layang yang orang hantar.

“Saya faham dan simpati dengan Machang. Kalaulah Machang minta maaf atau cakap macam ni ‘saya mungkin silap, saya dapat (surat layang), saya tidak percaya tapi saya nak tanya betul atau tidak’, itu tiada masalah.

“Tapi beliau duduk. Benda itu tular, macam Parlimen menyokong apa yang Machang cakap. Hanya kerana kita Yang Berhormat, jangan kita berkelakuan seolah-olah melebihi undang-undang,” katanya.

Azalina berkata, pegawai atasan KWSP yang disebut Wan Ahmad Fayhsal ialah pegawai kerajaan, sekali gus melanggar peraturan Dewan Rakyat yang tidak membenarkan Ahli Parlimen menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan selain dalam menjalankan urusan sebagai pegawai kerajaan.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan Johari meluluskan usul itu untuk dibahas kerana pegawai atasan KWSP terbabit didakwa bukan pegawai kerajaan.

Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) menggesa Johari menarik semula usul berkenaan kerana didakwa rosak (defective).

“Jika ada usul daripada Eksekutif, Tan Sri mesti menilainya degan teliti. Jika ‘defective’, tolak balik. Tan Sri mesti dilihat sebagai Speaker yang adil.

“Apabila duduk di sana (sebagai Yang Dipertua), Tan Sri perlu ‘buka baju politik’ dan semua tindakan serta usul mesti dilihat melalui Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kenyataan Ronald menimbulkan kekecohan selepas beberapa Ahli Parlimen kerajaan menyifatkan ia sebagai menghina dan membuat sangkaan jahat terhadap Johari.

Sementara itu, Hamzah meminta Johari memberi peluang kepada Wan Ahmad Fayhsal membela diri.

“Beri beliau peluang untuk katakan sesuatu, barulah Tan Sri membuat keputusan,” katanya.

Cadangan itu disokong seorang Ahli Parlimen kerajaan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), yang menegaskan Wan Ahmad Fayhsal berhak membela diri.

“Keputusan tidak bagi hak kepada yang dituduh itu zalim, bertentangan dengan Perlembagaan. Beliau dipilih rakyat, perlu dilayan dengan adil,” katanya yang mendapat sokongan daripada pembangkang.

Johari menjelaskan, Ahli Parlimen boleh membela diri jika dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, namun dalam kes berkenaan, seperti diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat, Menteri boleh membuat usul dan Ahli Parlimen terbabit dikenakan tindakan.

“Kita pernah menghukum (penggantungan) sebelum ini, contohnya Puchong dan Padang Serai,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment