Negara didahulukan, parti dikemudiankan – PM Britain

LONDON: Pemimpin parti Buruh, Keir Starmer secara rasmi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) selepas pelantikannya diperkenankan Raja Britain, Raja Charles III pada Jumaat.

Starmer dalam ucapan nasional sulungnya dari Downing Street, menekankan komitmen terhadap perpaduan, perkhidmatan awam dan permulaan baharu untuk negara.

Dalam ucapannya, Starmer mengiktiraf perdana menteri sebelum ini, Rishi Sunak memujinya atas peranan perintisnya sebagai perdana menteri Asia Britain yang pertama, serta dedikasi dan kerja kerasnya.

“Kami mengiktiraf dedikasi dan kerja keras yang dibawanya dalam kepemimpinannya,” katanya.

Starmer kemudian membincangkan kemerosotan kepercayaan terhadap politik Britain, menegaskan bahawa ia hanya boleh dipulihkan melalui tindakan, bukan kata-kata.

“Sudah jelas kepada semua orang bahawa negara kita memerlukan penetapan semula yang lebih besar. Penemuan semula siapa diri kita,” katanya dengan menekankan keperluan bagi ahli politik menyedari bila untuk mengubah haluan.

Merenung cabaran sosioekonomi yang dihadapi oleh jutaan orang, Starmer berjanji bahawa kerajaannya akan bekerja tanpa jemu untuk memulihkan kepercayaan orang ramai.

“Sudah terlalu lama kami memejamkan mata apabila berjuta-juta orang tergelincir ke dalam rasa tidak selamat yang lebih besar,” katanya sambil berjanji untuk berusaha setiap hari untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

Starmer memberi jaminan kepada negara bahawa pentadbirannya akan “tidak dibebani oleh doktrin” dan hanya fokus untuk berkhidmat kepada kepentingan awam.

“Sama ada anda mengundi Parti Buruh atau tidak, hakikatnya, terutamanya jika anda tidak, saya berkata kepada anda secara langsung: Kerajaan saya akan berkhidmat kepada anda. Politik boleh menjadi kuasa untuk kebaikan. Kami akan tunjukkan itu.

“Kami telah mengubah Parti Buruh, mengembalikannya kepada perkhidmatan, dan itulah cara kami akan mentadbir. Negara didahulukan, parti dikemudiankan,” katanya.

Parti Buruh memenangi pilihan raya parlimen dengan memperoleh 326 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Dengan kiraan undi masih diteruska, parti itu memenangi 412 kerusi Dewan Rakyat yang mempunyai 650 kerusi, manakala Parti Konservatif memperoleh 121 kerusi. Parti Buruh juga memenangi kawasan pilihan raya “Red Wall” seperti Bolsover.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment