Noh: Zahid anggap biasa, Muhyiddin sambut baik

JELI 5 Julai –  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berhak menyertai mana-mana parti yang disukainya, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ia adalah perkara biasa bagi mereka yang dipecat oleh parti dan menyertai parti lain.

“Mana-mana ahli UMNO yang dipecat bebas menyertai mana-mana parti yang mereka suka. Itu pilihan mereka,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang, di sini, hari ini.

Semalam,  Noh Omar yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengumumkan menyertai Bersatu selepas dipecat UMNO pada tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Noh dilaporkan berkata, beliau memohon untuk menyertai BERSATU secara dalam talian kelmarin dengan mengisi borang dan terus diterima.

Katanya, keputusan drastik itu dibuat selepas kecewa dan sedih dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

Sementara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan keputusan Noh menyertai Bersatu.

Dalam kenyataan melalui Facebook, Muhyiddin berkata, Noh sebelum ini banyak menyertai program Bersatu malah turut sama-sama membantu Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa siri kempen pilihan raya negeri dan pilihan raya  kecil.

“Saya melihat kesediaan Noh menyertai Bersatu secara rasmi adalah satu langkah tepat sekali gus membuka ruang kepada beliau untuk memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada parti.

Saya berdoa semoga hijrah beliau ke dalam wadah parti Bersatu akan meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada parti ini dan memperkukuhkan saf perjuangan PN menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti, insya-Allah,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment