Titah Adendum : Najib akan kemuka rayuan

KUALA LUMPUR 3 Julai – Najib Razak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum (perintah tambahan) Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, perintah tambahan itu mengarahkan supaya beliau menjalani baki tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui pemberita selepas prosiding, berkata beliau menerima arahan daripada Najib untuk memfail rayuan terhadap keputusan Hakim Datuk Amarjeet Singh, ke Mahkamah Rayuan secepat mungkin.

Muhammad Shafee juga memberitahu , beliau bingung dengan pendirian kerajaan yang menafikan kewujudan perintah tambahan itu dengan mengelakkan untuk menyentuh isu berkenaan.

Beliau berkata, jika kerajaan berani secara terbuka menyatakan tiada perintah tambahan, maka semua pihak tidak perlu datang ke mahkamah lagi.

“Kita semua boleh balik ke rumah dan tidur. Tidak perlu membuat bising lagi.

Mengapa kerajaan tidak berani menyatakan perkara ini? Seseorang mesti menyembunyikan sesuatu,” katanya.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Beliau juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Terdahulu Amarjeet membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk oleh Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap.

Amarjeet dalam penghakimannya, berkata beliau sudah menimbangkan semua afidavit dan mendapati afidavit Najib hanya mengandungi kenyataan kosong tanpa menyebut sumber dan kepercayaan beliau mengenaikewujudan titah itu.

Beliau mendapati kedua-dua afidavit berkenaan adalah pada peringkat tertinggi (dalam kategori) dengar cakap.

Katanya, Najib membuat kesimpulan bahawa peguamnya menulis kepada responden mengenai perkara sama tanpa menerima sebarang jawapan.

Amarjeet berkata, dalam afidavit ketiga pula, Ahmad Zahid berkata beliau dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengenai kewujudan Titah Adendum berkenaan.

“Ahmad Zahid berkata, Tengku Zafrul memberitahunya bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menunjukkan perintah tambahan itu kepadanya dan Tengku Zafrul juga mengambil foto perintah terbabit.

“Ahmad Zahid berkata, bahawa beliau melihat foto perintah itu dalam telefon bimbit Tengku Zafrul, yang kononnya mengandungi tanda tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Penegasan Ahmad Zahid juga adalah dengar cakap semata-mata sebagai sumber maklumat dan kepercayaan beliau ialah Tengku Zafrul. Ahmad Zahid sendiri tidak mempunyai pengetahuan mengenai perintah tambahan itu melainkan apa yang didengari daripada Tengku Zafrul,” katanya.

Amarjeet berkata, penegasan Wan Rosdy pula dalam afidavitnya yang menyatakan bahawa sumber maklumat beliau mengenai perintah tambahan ialah Tengku Zafrul, juga bersifat dengar cakap.

Hakim berkata, Najib bergantung kepada sumber Tengku Zafrul, tetapi sumber itu tidak mengesahkan sebarang afidavit dan tiada penjelasan lanjut terhadap fakta berkenaan.

Beliau berkata, Tengku Zafrul cuba memfailkan afidavit tetapi mahkamah itu tidak membenarkannya kerana undang-undang tidak membolehkannya berbuat demikian pada peringkat kebenaran.

“Dalam keadaan ini, saya berpendapat semua afidavit adalah khabar angin semata-mata.

“Akibatnya, tiada afidavit yang mengesahkan fakta material yang dinyatakan, oleh itu, tidak ada kes yang boleh dipertikaikan di peringkat substantif, ” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment