KUALA LUMPUR 2 Julai – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegur Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail kerana tidak mematuhi etika berpakaian dengan mengenakan baju batik di Parlimen, hari ini.
Teguran itu dibuat selepas perkara itu dibangkitkan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sebelum mengajukan soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, pagi tadi.
Rosol bertanya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul mengenai etika pemakaian batik selepas melihat Saifuddin memakai batik bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat, hari ini.
“Yang Dipertua, saya nak tanya, etika berpakaian di Parlimen, batik boleh dipakai hari apa sebab nampak Menteri Dalam Negeri pakai batik hari ini,” katanya.
Anwar kemudian terus menegur secara terbuka dan meminta Saifuddin mematuhi ketetapan peraturan pemakaian di Parlimen.
“Saya nak ingatkan Menteri Dalam Negeri, ikut peraturan Parlimen. Saya setuju dengan Hulu Terengganu (Rosol),” katanya.
Saifuddin yang duduk di belakang kerusi Anwar dan mengenakan baju batik berwarna ungu dilihat tersenyum serta mengangguk sebagai maklum balas kepada teguran itu.
Pada 2021, pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang dalam kalangan Ahli Parlimen dipersetujui bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap Khamis yang bertujuan memartabatkan batik sebagai warisan negara.
Nnn
