KUALA LUMPUR 2 Julai – Indikator baharu yang akan memberi gambaran secara kolektif mengenai jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah kini dalam peringkat akhir penyediaan untuk dimuktamadkan dan akan diumumkan awal November ini, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, indikator bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat itu merangkumi keperluan bagi kehidupan wajar yang lebih menyeluruh iaitu makanan dan minuman, pakaian, perumahan, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, komunikasi serta keperluan lain.
“Pengiraan indikator ini membabitkan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, 162 daerah pentadbiran serta mengikut lokasi bandar dan luar bandar. Manakala, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digunakan sebagai asas perbandingan relatif,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan P Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu perkembangan terkini indikator baharu diumumkan kerajaan Mac lalu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat.
Anwar berkata, pembangunan indikator baharu kos sara hidup secara terperinci sehingga ke peringkat daerah sangat penting dalam usaha penilaian semula pengukuran tahap kos sara hidup rakyat.
Katanya, penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya mengukur perubahan harga serta tertakluk kepada penawaran dan permintaan bagi barangan dan perkhidmatan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memutuskan supaya indikator baharu kos sara hidup berdasarkan nilai keperluan perbelanjaan bulanan isi rumah diterbitkan bagi melengkapi indikator sedia ada.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, indikator baharu itu disusun bagi mendapatkan perbezaan kos bagi harga barangan dan perkhidmatan yang diperoleh isi rumah mengikut lokaliti.
Selain itu, ia juga membolehkan pengukuran berdasarkan sumber pendapatan yang diterima sama ada daripada gaji tetap, bekerja sendiri, pulangan daripada aset dan pelaburan serta pindahan semasa yang diterima sama ada daripada kerajaan, swasta atau individu lain.
Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sebelum ini bersetuju supaya Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSM) membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.
Nnn
