JASIN 23 Jun – UMNO mahu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel, BlackRock melalui Global Infrastructure Partners (GIP).
Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan berkata, walaupun keputusan berkenaan tidak dibuat melalui Kabinet, namun beliau berharap keputusan itu dikaji semula.
“Kita menteri-menteri UMNO memberikan pandangan jika boleh perkara ini tidak diteruskan tetapi dia punya transaction itu sudah terlampau advanced.
“Jadi kita tengoklah macam mana, kita pun tidak tahu sama ada diteruskan atau pun tidak (keputusan ) bukan di kalangan kita kerana Khazanah di bawah Kementerian Kewangan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Mohamad yang juga Menteri Luar diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya keputusan itu dibawa kepada Jemaah Menteri kerana yakin menteri-menteri daripada UMNO akan membantah cadangan tersebut.
Menurut Khairy lagi, tindakan Khazanah menjual 30 peratus pegangan saham kepada konsortium itu menentang dasar kerajaan yang selama ini memperjuangkan soal kemanusiaan Palestin.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Khazanah sebagai sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MoF) perlu menilai semua keputusan itu.
“Ia perlu melihatnya, baik buruk apa sahaja impaknya untuk perkara ini,” katanya.
Sebelum ini juga Dr Muhamad Akmal berkata, MAHB tidak akan gulung tikar dan berdepan risiko muflis sekiranya syarikat berkaitan kerajaan itu tidak mendapat bantuan daripada syarikat pro-Israel seperti BlackRock.
Beliau berkata , ini kerana masih banyak syarikat di luar negara yang selari dengan pendirian Malaysia dalam perjuangan Palestin boleh membantu menyelamatkan MAHB.
“Pemuda UMNO ingin sekeras-kerasnya memohon dan juga mendapatkan perhatian kerajaan supaya penjualan saham ini kepada syarikat yang dimiliki BlackRock ini boleh dihentikan serta-merta.
“Penjualan ini secara langsung akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat dan mempunyai simpati kepada agenda Zionis,” katanya P selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO baru-baru ini.
Nnn
