Speaker Dewan Rakyat tiada pilihan lain

SEPANG 9 Jun – Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul tidak mempunyai pilihan lain kecuali mematuhi Perlembagaan Malaysia dan mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan keahlian mereka adalah kosong.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata ini kerana gugurnya keahlian seseorang itu adalah urusan dalaman parti berkenaan dan bukan bidang kuasa Speaker.

“Setelah parti ada pegangan dalam hal berkenaan, maka tindakan Speaker mestilah berdasarkan apa yang Perlembagaan Persekutuan kehendaki setelah seseorang itu terhenti keahliannya.

Ini adalah ujian penting konsep pengasingan kuasa dalam Parlimen kita,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Semalam, MPT Bersatu dilapor sudah memuktamadkan keputusan status tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah iaitu enam melibatkan Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahli Parlimen itu adalah  Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang),  Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli),  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN Selat Klang,  Abdul Rashid Asari  pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor,  Amirudin Shari

Wan Saiful turut mendakwa negara dan dunia akan menghakimi sama ada Johari bertindak untuk memelihara kemuliaan Dewan Rakyat dan keluruhan Perlembagaan atau secara kepartian.

Beliau berkata, beberapa langkah diambil oleh Bersatu mengenai wakil rakyatnya yang berpaling tadah juga seharusnya tidak didedahkan kepada umum.

Terdahulu, seorang peguam Shamsuddin Nawawi berkata jika dimaklumkan oleh parti yang wakil rakyat berkenaan dilucut keahliannya, Speaker Dewan Rakyat, tidak ada pilihan, selain daripada mengisytiharkan kerusi berkenaan sebagai kosong.

“Speaker mesti patuh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Speaker tidak ada hak untuk membuat siasatan bagaimana keahlian wakil rakyat berkenaan dilucutkan kerana itu urusan parti terbabit.

“Speaker tidak mencampuri urusan parti kerana speaker mesti bertindak secara ‘apolitical’ iaitu tidak membuat keputusan mengikut kecenderungan atau fahaman politik,” katanya di media sosial.

Shamsuddin berkata, sekiranya wakil rakyat berkenaan tidak berpuas hati dengan keputusan kerusinya dikosongkan, mereka boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

“Sebelum ini, keputusan speaker adalah ‘non-justiciable’ iaitu tidak boleh dipertikai waima di mahkamah sekali pun. Ahli parti yang membawa pertikaian partinya ke mahkamah pula, secara automatik juga gugur keahliannya. Kesimpulan, ikut mana pun, pilihan raya kecil (PRK) terpaksa lah dilakukan juga,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment