Hassan tulis sajak ‘Pelaburan Genoside’

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menarik perhatian apabila memuat naik satu sajak dalam entri terbaharu Facebook miliknya mengenai penglibatan BlackRock dalam urusan pelaburan di negara ini.

Melalui sajak bertajuk PELABURAN GENOSIDE, Ahli Parlimen PKR itu melahirkan rasa hatinya berhubung pengkibatan syarikat yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Israel.

Hassan sebelum ini mempersoalkan mengapa negara begitu terdesak untuk menjual sebahagian equiti syarikat sepenting Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah konsortium yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Zionis.

Sedangkan, selama ini, katanya, MAHB mampu menguruskan 38 buah lapangan terbang dalam negeri dan satu di luar negara.

“Kenapa kerajaan membenarkan penswastaan syarikat MAHB milik kerajaan Malaysia diswastakan sehingga 30 peratus saham MAHB dijual kepada Global Infrastructure Partners ( GIP).

“Adakah dasar pelaburan negara seperti ini bersifat progresif atau regresif?” soalnya dalam satu kenyataan.

Blackrock, iaitu syarikat pelaburan multinasional Amerika Syarikat,  pada Januari lalu, mengumumkan ia dalam proses mengambil alih GIP pada harga AS$3 bilion (kira-kira RM14 bilion) secara tunai.

Pengambilalihan itu dilaporkan akan dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini, iaitu bermakna antara Julai dan September.

BlackRock adalah pengurus aset terbesar di dunia – yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan memiliki pegangan dalam syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada tentera Israel.

Hassan dalam satu bait sajaknya menyebut “Satu tangan kita bersolidariti dengan rakyat Palestin; Satu tangan lagi kita menadatangani perjanjian dengan korporat besar global; Yang membikin bom dan roket; Mengaut untung dari genoside,”

Berikut teks penuh sajak Hassan

PELABURAN GENOSIDE

Berbilion ringgit pelaburan mencurah masuk ke tanahairku

Kecil tapak tangan

Berpuluh puluh lapangan terbang terbentang

Ditadahkan

untuk dolar Amerika

Tokoh-tokoh besar

Tutup mata

Tutup hati nuraninya sekali

Mereka

berkeliling dunia lalu menjemput pelaburan datang ke sini

Di negaraku

Kami berwirid Malaysia Madani

Tetapi kompeni algojoh yang bermandian darah rakyat Gaza

melabur ke sini.

Satu tangan kita bersolidariti dengan rakyat Palestin

Satu tangan lagi kita menadatangani perjanjian dengan korporat besar global

Yang membikin bom dan roket

Mengaut untung dari genoside.

Oh Malaysiaku sayang

Kita negara yang sudah hilang kemanusiaan

Pemimpin-pemimpin Kita hanya mengira ringgit dan dolar pelaburan.

03 Mei 2024

Pasir Gudang.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment