Tidak di haluan ditetapkan punca nahas

KUALA LUMPUR 30 Mei – Helikopter Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan menjadi faktor utama  nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 23 April lalu yang mengorbankan 10 anggota dan pegawai TLDM.

Panglima TLDM, Laksamana Madya Abdul Rahman Ayob memberitahu, Fennec memasuki laluan helikopter AW-139.

Bercakap pada sidang media ketika mengumumkan laporan penuh nahas helikopter TLDM itu, beliau menjelaskan kedua-dua helikopter didapati berada dalam keadaan selamat untuk terbang semasa hari kejadian.

Beliau turut mendedahkan punca sekunder nahas helikopter TLDM adalah ‘channelise attention’ oleh krew helikopter AW139 tertumpu ke arah penukaran haluan dan ini telah mengehadkan reaksi elak pelanggaran.

Dalam nahas 23 April dua helikopter berkenaan bergesel dan terhempas ketika

menjalani raptai lintas hormat bersempena ulang tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Mangsa terdiri daripada tujuh kru helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.

Susulan nahas itu, lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas dua helikopter terbabit.

Laporan interim insiden berkenaan pada 9 Mei lepas mengesahkan tahap kesihatan kesemua kru udara yang terlibat dalam nahas itu berada dalam keadaan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan kedua-dua helikopter berkenaan berada dalam keadaan ‘airworthy’ (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian.

Pada sidang media itu, TLDM mendedahkan satu video berdurasi tujuh saat yang memaparkan saat-saat sebelum Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan AS 555 SN bergesel dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.

Video daripada kamera TLDM itu dikongsi kepada sekumpulan media tempatan yang hadir pada majlis pendedahan laporan akhir Lembaga Siasatan nahas.

Dalam video berkenaan, kelihatan tujuh helikopter yang terbabit dalam Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 menjalankan formasi penerbangan.

Related posts

Leave a Comment