Tujuh kes baharu di Singapura

SINGAPURA 24 Feb. – Tujuh kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini termasuk satu kes tempatan yang melibatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja dengan seorang kru kabin Singapore Airlines dan suaminya yang sebelum ini diuji positif.

Menurut Kementerian Kesihatan, wanita berusia 35 tahun itu dikenal pasti sebagai kontak rapat kru kabin SIA itu dan dikuarantin pada 9 Februari.

Keputusan ujian swab dan serologi yang diambil pada hari yang sama adalah negatif. Dia mengalami batuk pada 20 Februari semasa menjalani kuarantin, namun tidak melaporkannya.

Beliau diuji sekali lagi pada 22 Februari dan hasil ujiannya positif Covid-19 pada keesokan hari dan dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Keputusan ujian serologinya adalah positif namun ia kemungkinan adalah jangkitan baru.

Pembantu rumah asing itu juga diuji positif awal bagi jenis virus B117, dan sedang menunggu ujian pengesahan selanjutnya.

Baki enam kes diimport dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di sini.

Sementara itu lapan lagi kes pulih menjadikan 59,761 pesakit sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan. Sebanyak 18 lagi pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau beransur pulih manakala seorang pesakit dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment