PUTRAJAYA 27 Mei – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti punca ketidakhadiran 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tidak menduduki peperiksaan itu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.
“Kita akan teliti punca kenapa calon ini tidak hadir (menduduki SPM 2023), selepas berlaku penurunan agak banyak (bagi calon yang mendaftar SPM 2023 berbanding 2022).
“Kita akan teliti satu persatu, intervensi akan kita laksanakan untuk tangani perkara ini sebaiknya,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.
Seramai 373,525 calon baharu menduduki SPM 2023, berbanding 373,974 pada 2022.
Dalam pada itu, Azman menegaskan, KPM tidak melarang mana-mana sekolah untuk mengadakan majlis apresiasi untuk calon SPM 2023 tetapi mencadangkan supaya majlis terbabit diadakan selepas cuti penggal persekolahan.
“Ini bagi membolehkan semua calon, ibu bapa dan guru2 dapat terbabit sama bagi memastikan majlis itu bertambah meriah,” katanya.
