PUTRAJAYA 27 Mei – Empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Integriti (SI) dan Sekolah Henry Gurney (SHG) mendapat keputusan cemerlang gred A+, A dan A-, dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Komisioner Hafidz Osman berkata daripada jumlah itu, tiga calon mendapat lapan A dan seorang mendapat enam A.
Katanya, mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 hingga 21 tahun, adalah calon daripada SI Integriti Marang, Terengganu; SI Kluang, Johor; SI Puncak Alam, Selangor dan SHG Telok Mas, Melaka.
Ini pencapaian cemerlang buat julung kalinya dalam sejarah Jabatan Penjara Malaysia.
“Tahun ini kita ada 74 calon (SPM) dari tujuh SI dan tiga SHG. Daripada jumlah itu, kita mencapai keputusan yang terbaik dalam tempoh lima tahun ini, dengan semua calon yang menduduki SPM tahun lepas lulus atau layak mendapat sijil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 di sini hari ini.
Hafidz berkata kejayaan itu diperoleh hasil inisiatif dan kerjasama erat antara jabatan dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menghantar guru-guru terlatih ke SI dan SHG di seluruh negara.
Penghuni-penghuni SI dan SHG ini telah mendapat bimbingan secara terus daripada guru yang berkelayakan dari KPM.
“Kebanyakan calon SPM 2023 SI dan SHG adalah lelaki dan mereka ditempatkan di sekolah itu atas pelbagai kesalahan juvana dan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Mengenai hala tuju calon cemerlang ini, bekas berkata pihaknya akan menggalakkan mereka untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi menerusi kerjasama dengan beberapa universiti dan kolej.
Nnn
