48 kematian akibat panas melampau

MEXICO CITY: Mexico mencatatkan 48 kematian akibat gelombang haba sejak Mac, manakala lebih 950 orang mengalami pelbagai kesan kesihatan akibat kepanasan melampau, demikian menurut kementerian kesihatan.

Tahun lalu, Mexico melaporkan rekod 419 kematian berkaitan haba pada musim panas, antara Mac hingga Oktober, di negara dengan 129 juta penduduk itu.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menyifatkan cuaca panas tahun ini sebagai ‘luar biasa’!  fenomena semula jadi yang sangat dikesali berkaitan dengan perubahan iklim.

Katanya, suhu tinggi dan kekurangan angin memburukkan lagi masalah pencemaran khususnya di Mexico City.

Ibu kota, yang terletak pada ketinggian 2,240 meter di atas paras laut, secara tradisinya menikmati iklim sederhana dan hanya beberapa rumah mempunyai pendingin hawa.

Menurut Suruhanjaya Air Negara, suhu di Mexico City mencapai rekod 34.3 darjah Celsius pada 9 Mei, manakala negeri timur laut, San Luis Potosi, mencatatkan suhu tertinggi 49.6 darjah Celsius.

Saintis dari Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico memberi amaran bahawa lebih banyak rekod suhu tertinggi boleh dipecahkan dalam dua minggu akan datang malahan tahun ini akan menjadi tahun paling panas dalam sejarah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment