RAFAH: Sekurang-kurangnya 31 mangsa terbunuh manakala 20 lagi cedera susulan serangan udara terkini dilancarkan rejim Zionis di kem pelarian Nuseirat semalam.
Tentera Israel berkata pasukan udaranya ‘menyerang puluhan sasaran keganasan’ dalam tempoh 24 jam lalu, selain memaklumkan sedang menyiasat laporan orang awam turut menjadi mangsa serangan terbabit.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Palestin, serangan terbabit dibuat ketika lawatan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan bagi membincangkan isu berkaitan konflik itu.
Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden menggesa supaya gencatan senjata di Gaza disegerakan, selain memaklumkan beliau sedang merangka perjanjian perdamaian serantau ‘untuk mencapai penyelesaian dua negara’.
Rumah Putih berkata, rentetan kekacauan politik itu, Sullivan bertemu rakan sejawatnya dari Israel, Tzachi Hanegbi dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bagi membincangkan konflik Gaza serta senario pasca-peperangan di Baitulmaqdis.
Sullivan ketika pertemuan itu menjelaskan ‘potensi’ perjanjian normalisasi antara Israel dan Arab Saudi kepada Netanyahu, selepas mengadakan perbincangan di rantau berkenaan.
Beliau juga menyeru Netanyahu menggabungkan operasi ketenteraan menentang Hamas di Gaza dengan ‘strategi politik’ untuk masa depan kawasan Palestin itu.
Washington juga menggesa untuk rancangan pasca-peperangan bagi Gaza, membabitkan pihak Palestin dan disokong kuasa serantau serta perjanjian diplomatik lebih luas dengan Israel dan kuasa serantau Arab Saudi bagi memperbaiki hubungan.
Sementara itu, ahli politik berhaluan tengah Israel, Benny Gantz, menggesa Netanyahu meluluskan ‘pelan tindakan’ pasca-peperangan menjelang 8 Jun, selain mengancam akan meletakkan jawatan daripada Kabinet berhubung isu itu.
Gantz juga menggesa Netanyahu menjelaskan kaedah mengalahkan Hamas, membawa pulang tebusan serta laluan menuju kepada pembentukan ‘pentadbiran AS, Eropah, Arab dan Palestin yang akan menguruskan hal ehwal awam di Semenanjung Gaza’.
Netanyahu bagaimanapun menolak gesaan Gantz, menjelaskan ia akan mengakibatkan ‘kekalahan kepada Israel’, selain menentang ‘penubuhan negara Palestin’.
Tentera Israel ketika ini menyusup ke Rafah dan dikatakan bersiap sedia menyerang benteng terakhir Hamas, ketika AS membangkitkan kebimbangan mengenai 800,000 orang awam yang dipindahkan baru-baru ini akibat peperangan.
Dalam pada itu sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, berkata pihaknya membedil mortar untuk menyerang pasukan Israel yang ditempatkan di lintasan Rafah, iaitu laluan penting bagi bantuan kemanusiaan yang kini ditutup.
Israel juga bertempur dan mengebom Hamas yang mengumpulkan semula pasukannya di utara dan pusat wilayah pesisiran yang sebelum ini dianggap di bawah kawalan rejim Zionis.
Ini mencetuskan amaran daripada AS bahawa Israel boleh terjerumus dalam kempen keganasan yang berlarutan.
Nnnn
Foto UNRWA
