KUALA LUMPUR 19 Mei – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, menerima surat ugutan bunuh bersama dua butir peluru hidup, semalam.
Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh memaklumkan surat ugutan berserta peluru itu ditemui dalam sampul yang diletakkan pada peti surat kediamannya.
Katanya , sebaik pulang ke kediamannya dan mengambil surat di peti surat, beliau dapati ada satu sampul surat mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.
Sebaik saja sampul surat dibuka, beliau mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis perkataan lucah dan ugutan bunuh.
Berikutan itu, beliau membuat satu laporan di Balai Polis Petaling dan menyerahkan surat serta dua butir peluru itu kepada polis untuk siasatan.
“Polis juga datang ke bahagian peti surat di kondominium saya untuk menjalankan pemeriksaan. Saya memang hairan dan tidak mengerti kenapakah saya terima peluru dan surat yang penuh ugutan seperti ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas menjalankan siasatan sejurus pihaknya membuat laporan polis.
“Saya yakin pihak polis dapat membantu saya dalam kes ini,” katanya melalui Facebooknya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, kepemimpinan DAP mengutuk sekeras-kerasnya ugutan bunuh terhadap Kok.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata unsur keganasan tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat negara ini, terutama dalam menangani perbezaan pendapat politik.
“Seluruh pimpinan DAP bersolidariti dengan beliau (Kok) berdepan ugutan itu.
Saya juga berterima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas selepas menerima laporan.
Saya yakin pihak polis akan menyiasat dengan terperinci dan menangkap pihak yang bertanggungjawab dalam kes jenayah terbabit,” katanya melalui Facebook beliau, hari ini.
nnn
