KUALA LUMPUR 19 Mei – Wajah suspek kes serangan membabitkan simbahan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, didedahkan mengikut lakaran fotofit yang berjaya dihasilkan.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata suspek dikenal pasti memakai topi celoreng tentera dan pelitup muka bercorak ketika kejadian pada 5 Mei lalu.
“Suspek dianggarkan berusia 30 tahun, berketinggian 165 sentimeter (sm) dengan saiz susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berwajah seperti lakaran fotofit terbabit, diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Razarudin berkata, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor M Jagachandran a/l Murugesen melalui talian 012-684 8166 atau 03-2266 6071 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Kita berharap ada saksi tampil dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan suspek, dan seterusnya membuat siasatan lanjut berkaitan kes simbah asid membabitkan Faisal,” katanya.
PDRM sebelum ini memaklumkan proses menghasilkan lakaran fotofit suspek kes simbah asid membabitkan Faisal dilakukan dengan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Faisal pada 5 Mei lalu dilaporkan cedera selepas disimbah asid dipercayai dilakukan oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira pukul 5 petang.
Susulan itu, tonggak utama Selangor FC berkenaan disahkan mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya dan menerima rawatan di hospital.
