SAMARKAND: Malaysia dan Uzbekistan boleh menjalinkan perkongsian strategik khas dalam bidang baharu, khususnya yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kedua-dua negara majoriti Islam itu boleh bekerjasama sebagai pasukan yang kuat dalam pelbagai bidang yang mempunyai minat khusus umat Islam.
“Kerjasama bukan sahaja dalam hubungan baik pembangunan halal, pensijilan halal dan industri halal, malah kita boleh bekerjasama dalam budaya dan seni ke tahap yang diselaraskan oleh menteri kanan (dari kedua-dua negara),” katanya dalam ucapannya di Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Uzbekistan-Malaysian di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera Samarkand.
Kira-kira 200 syarikat dari kedua-dua negara menyertai forum perniagaan itu. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev.
Anwar berkata, Malaysia dan Uzbekistan juga boleh memberi tumpuan kepada pendidikan dan bidang baharu dalam digital, terutamanya kecerdasan buatan (AI).
“Keupayaan masa depan kita bergantung bagaimana kita membina kekuatan (bersama). Kita harus sentiasa berusaha untuk melengkapi di antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu dalam catatan di Facebooknya, Anwar berkata, forum itu antara lain dihadiri syarikat-syarikat Uzbekistan dengan pendapatan tahunan lebih RM1 bilion seperti Eriell Group, Korzinka, Orient Group, Murad Buildings dan Asklepiy Group, selain syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas, KWSP, Khazanah, Proton, Sunway Group dan Sime Darby.
“Saya nyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama Malaysia-Uzbekistan dalam pelbagai sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan, E&E, halal dan kewangan Islam, selain bidang-bidang baharu seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Saya turut berpandangan syarikat dan agensi di Malaysia perlu belajar daripada keupayaan Uzbekistan mencetus perubahan, pemodenan dan kemajuan ekonomi dalam tempoh singkat,” katanya.
Selesai dialog, Anwar dan Jamshid menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan serta syarikat Malaysia dan Uzbekistan.
MoU ini turut membabitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan universiti tempatan.
“Insya-Allah, Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia ini dijangka menjana hasil eksport sekurang-kurangnya RM710 juta, yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Agensi-agensi perlu mempermudah dan menyegerakan urusan pelaburan ini,” katanya.
Nnnnn
