KUALA LUMPUR 6 Mei – Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada penganjur untuk menjawab isu pembabitan pempamer yang menyokong Israel dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.
“Biar pihak penganjur bertindak balas mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian DSA dan NATSEC Asia 2024 oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini.
Beberapa pihak sebelum ini menggesa kerajaan melarang penyertaan dua syarikat yang didakwa terbabit dalam membekalkan senjata kepada tentera Israel. Mereka termasuk bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Biro Antarabangsa Bersatu, Saifuddin Abdullah.
DSA dan NATSEC 2024 yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini sehingga 9 Mei yang menyaksikan penyertaan lebih 1,324 syarikat dari 60 negara yang mempamerkan teknologi pertahanan dan keselamatan masing-masing.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, syarikat pertahanan tempatan perlu merebut peluang di pentas DSA dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi di pentas global.
Beliau berkata, pameran DSA dan NATSEC 2024 memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pertahanan negara.
Anwar berkata, acara dan perbincangan dalam tempoh tiga hari itu akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan ke arah masa depan yang terjamin terutamanya untuk generasi akan datang.
“Marilah kita sama-sama bangkit, membina dunia yang berdaya tahan… bukti kekuatan yang terdapat dalam perpaduan. Masa depan di tangan kita. Marilah kita membentuknya dengan harapan, keazaman dan keberanian keyakinan,” katanya.
Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 kali ini disertai 1,324 syarikat pertahanan dan keselamatan membabitkan 60 negara di dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Brazil, Jerman, India, Perancis, Itali, Korea Selatan, Turkiye, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.
Antara syarikat gergasi dunia yang menyertai pameran selama empat hari itu adalah Airbus Group, BAE System, Beretta Defence Techonologies (BDT), EDGE, Leonardo, MBDA dan Sarsilmaz Silah Sanayi (Turkish Industry Association).
Penyertaan syarikat tempatan pula termasuk DEFTECH, Advanced Defence System, OpenApps, MILDEF, Sapura, Malvus Sense, Weststar Group, Nadi Corp, SME Ordnance, System Consultancy Services dan Mindmatics.
