PRN Sabah: GRS tolak hasrat Bersatu, Pejuang

KOTA KINABALU 6 Mei – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak kerjasama dengan parti lain dari Semenanjung bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) setelah serasi dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam mentadbir negeri.

Ketua Penerangannya, Joniston Bangkuai berkata tiada sebab untuk GRS menjalin kerjasama dengan parti lain dengan mengambil kira keyakinan rakyat Sabah terhadap gabungan sekarang dalam meneruskan pembangunan negeri ini.

“Mengambil kira keyakinan rakyat kepada GRS dan keserasiannya dengan PH Sabah, tiada sebab untuk gabungan parti tempatan ini menjalin kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Bangkuai menyatakan pendirian GRS itu susulan kenyataan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang),  Mukhriz Mahathir, kelmarin yang menyuarakan minat partinya bekerjasama dengan GRS.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  Muhyiddin Yassin pula menyatakan akan meneliti sama ada mahu bekerjasama dengan parti lain termasuk GRS pada PRN17 nanti.

Bangkuai yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata GRS akan menumpukan usaha merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam membangunkan negeri dan menyatupadukan rakyat.

Pada masa sama, katanya GRS juga akan terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan PH Sabah memandangkan gabungan itu amat selesa dengan PH Sabah dan rakan-rakan lain sedia ada dalam kerajaan GRS – PH Plus.

“PH Sabah memilih untuk menyokong Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri apabila segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah berkomplot dengan Parti Warisan (WARISAN) untuk menumbangkan kerajaan negeri pada awal tahun lalu.

“Keputusan PH Sabah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri didorong kebimbangan terhadap momentum membangunkan Sabah akan terganggu disebabkan keadaan politik yang tidak stabil akibat tindakan pihak yang mahu menggulingkan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Bangkuai berkata GRS melihat hasrat Pejuang dan Bersatu untuk bekerjasama sebagai tanda keyakinan mereka terhadap keikhlasan dan kesungguhan gabungan parti tempatan itu menerajui kerajaan negeri.

Katanya, sebagai  gabungan parti tempatan, GRS akan sentiasa berpandu kepada pandangan dan sentimen rakyat Sabah dalam membuat sebarang keputusan. GRS amat menghargai sambutan positif dan perasaan selesa majoriti rakyat Sabah terhadap kerajaan GRS – PH plus.

Related posts

Leave a Comment