ISTANBUL – Pihak Berkuasa Palestin, negara-negara Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengecam perancangan Israel untuk mengilhak 82 peratus daripada Tebing Barat yang diduduki.
Ia sekali gus memberi amaran tindakan itu akan meningkatkan ketegangan serantau serta menjejaskan penyelesaian dua negara.
Terdahulu, Menteri Kewangan yang berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, mengumumkan hasrat Israel bagi menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.
Kementerian Luar Palestin menegaskan tindakan unilateral Israel, merangkumi peluasan penempatan haram dan rampasan tanah, tidak akan memberikan sebarang hak sah ke atas tanah Palestin.
Malah, kenyataan Smotrich itu digambarkan sebagai ‘ancaman langsung terhadap prospek penubuhan sebuah negara Palestin’ dan ‘lanjutan hasutan sistematik yang bertujuan memperdalam ilhak, pengusiran serta jenayah pemusnahan.’
Kementerian Luar Jordan turut mengecam kenyataan Smotrich yang ‘bersifat perkauman’ dan pencerobohan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki’, selain menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta cabaran terhadap konsensus global mengenai penyelesaian dua negara.
Jurucakap kementerian, Sufian Qudah, memberi amaran bahawa ketiadaan tindakan akauntabiliti antarabangsa hanya mendorong lebih banyak ‘kenyataan serta tindakan agresif’ oleh pegawai Israel.
Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi mengecam ‘seruan berbahaya dan provokatif’ oleh Smotrich, sambil menegaskan ia mencerminkan dasar Israel yang disengajakan untuk mengganggu kestabilan rantau ini serta menggagalkan usaha damai.
Justeru, beliau menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan tegas bagi menghentikan amalan unilateral Israel, selain mengulangi sokongan GCC terhadap pembentukan sebuah negara Palestin merdeka bersempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Politik Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Lana Nusseibeh, menyifatkan langkah itu sebagai ‘garisan merah’ dan memberi amaran ia akan ‘membunuh idea integrasi serantau serta menamatkan penyelesaian dua negara’.
Sementara itu, pertubuhan kemanusiaan perubatan antarabangsa, Doctors Without Borders (Médecins Sans Frontières – MSF), memberi amaran bahawa rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki sedang berdepan pemindahan paksa secara besar-besaran oleh tentera Israel dan peneroka haram Israel, sekali gus meningkatkan ancaman pembersihan etnik di wilayah itu.
Pertubuhan itu berkata, dasar Israel yang bertujuan mengilhak tanah di Tebing Barat, adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Nnnn
