HULU SELANGOR 28 April – Penubuhan cawangan DAP Melayu baharu yang ketiga bagi Parlimen Hulu Selangor bukan gimik politik semata-mata untuk menghangatkan suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, berkata persiapan mewujudkan cawangan baharu, DAP Melayu cawangan Jalan Kemboja itu sudah dimulakan setahun lalu dan ia bertambah rancak ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
“Saya sangat gembira kerana saya banyak terbabit dalam gerak kerja penubuhan cawangan baharu ini dan lebih membanggakan belia berusia 21 tahun membuat keputusan menyertai DAP. Ini bukan gimik PRK.
Sudah setengah tahun usaha menubuhkan cawangan baharu ini. Mereka perlu memenuhi syarat mempunyai 50 keahlian, melakukan sesi dialog, bengkel politik sebelum boleh mendaftarkan cawangan.
“Jadi besar harapan, mereka menjadi golongan yang memainkan peranan bantu memahamkan masyarakat DAP parti untuk semua termasuk orang Melayu,” katanya.
Seramai 50 belia berusia 21 hingga 30 tahun menyerahkan borang keahlian DAP bagi cawangan baharu yang diterima Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othmandan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.
Sementara itu, Gobind, berkata pembentukan cawangan baharu itu membuktikan prestasi dan kerja bekas ADUN Kuala Kubu Bharu, mendiang Lee Kee Hiong memang memberikan perkhidmatan cukup baik, mudah bersemuka dan sering turun padang.
“Legasinya meninggalkan kesan membawa ke depan kepada org ramai untuk bersama-sama dengan DAP.
“DAP ialah parti yang terbuka kepada semua dan yang penting kita mahu memastikan semua lapisan masyarakat mendapat peluang menceburi bidang politik.
“Seperti calon (PRK Kuala Kubu Bharu) wanita dan seorang yang muda, ini menunjukkan komitmen kita memastikan masa depan negara kita hasil usaha sama perbincangan dan pertukaran fikiran daripada semua,” katanya.
Gobind berkata , sebagai Pengerusi DAP Selangor, beliau mengalu-alu kedatangan ahli baharu dan berharap bergerak ke depan serta menambahkan ahli seluruh kawasan Kuala Kubu Bharu dan Hulu Selangor.
Nnnn
