BERSIH persoal Rumah Terbuka di kawasan PRK

SEPANG 26 April – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Negeri Selangor di kawasan Pilihan Raya Kecil PRK Dewan Undangan Kuala Kubu Bharu.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataannya berkata, penetapan lokasi dan masa penganjuran majlis berkenaan adalah tindakan yang tidak mengikut peraturan kerana ia akan berlangsung di kawasan PRK.

BERSIH mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor bahawa penganjuran rumah terbuka Aidilfitri itu boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Berdasarkan risalah program itu yang kami terima, pelbagai aktiviti sambutan akan diadakan seperti jamuan makan dan pemberian duit raya.

Pemberian atau jamuan makan semasa tempoh pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 iaitu Penjamuan dan pemberian duit raya adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 (Penyogokan),” kata BERSIH.

BERSIH turut mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor bahawa penganjuran Rumah Terbuka itu menggunakan sumber kerajaan negeri, maka mereka perlu memastikan majlis itu tidak digunakan sebagai platform untuk memperkenalkan calon daripada komponen parti kerajaan.

Malah, katanya majlis itu tidak sepatutnya dihiasi dengan bendera parti dan kaedah kempen yang lain bertujuan memenangkan calon mereka.

“Penggunaan sumber kerajaan bukan sementara seperti Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan ketika tempoh pilihan raya kecil seperti di Kuala Kubu Bharu ini perlu mematuhi prinsip 3C yang digariskan BERSIH sebelum ini, iaitu tanpa syarat, tanpa kempen dan tiada calon,” kata kenyataan itu.

Justeru BERSIH mengingatkan parti politik atau mana-mana calon yang bercadang menganjurkan majlis rumah terbuka peringkat parti atau kapasiti masing-masing supaya tidak berbuat demikian kerana bercanggah dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“BERSIH sekali lagi menegaskan kepada semua pihak yang akan bertanding dalam PRK KKB ini terutamanya pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan agar mematuhi etika kempen pilihan raya supaya pilihan raya di negara kita dapat berjalan dengan bersih dan adil:” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment