PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei

PUTRAJAYA 4 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 27 April.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal pula pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April 2024 sehingga pukul 11.59 malam, 10 Mei 2024.

Bercakap pada sidang media di sini, Abdul Ghani berkata, pelaksanaan PRK Kuala Kubu Baharu memerlukan peruntukan RM2.5 juta.

PRK ini membabitkan seramai 40,226 pemilih, merangkumi 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Urusan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara bagi PRK berkenaan dibuka mulai hari ini.

Tarikh tutup bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media ialah 26 April ini.

Bagi kategori 1B dan 1C membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara serta agensi dan organisasi, masing-masing akan ditutup pada 15 dan 18 April ini.

Bagi menjalankan proses PRK ini, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus selain menubuhkan dua pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti kempen sepanjang pilihan raya.

Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Serbaguna dan Komplek Sukan Daerah Hulu Selangor.

Katanya, sebanyak 18 pusat mengundi biasa mengandungi 74 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran awal akan digunakan.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58 pada 21 Mac lalu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment