PUTRAJAYA 4 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto di Perdana Putra di sini.
Ini adalah lawatan pertama Prabowo ke negara ini selepas diumum sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029.
“Momen ini kami gunakan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat mengenai karier masing-masing dan hala tuju seterusnya dalam merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia,” kata Anwar dalam kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, perjalanan karier politik beliau dan Probowo hampir sama apabila diuji dengan pelbagai cabaran sebelum dilantik, juga menjadi topik perbincangan santai dalam pertemuan itu.
Selain itu, katanya pada pertemuan itu kedua-duanya berkongsi kisah Prabowo sewaktu beliau melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur.
“Saya sempat titipkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Prabowo yang bakal dilantik sebagai Presiden Indonesia Kelapan.
“Semoga hubungan persahabatan Malaysia-Indonesia terus erat dan diperkukuh demi kebaikan bersama pada masa hadapan,” katanya.
