SEPANG 22 Dis. – Tindakan beberapa pemimpin DAP yang secara terbuka ‘bersorak, bergembira dan meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi melibatkan Titah Adendum Najib Razak dianggap sebagai biadap, tidak berperikemanusiaan dan jijik,
Naib Ketua Pemuda UMNO Hairi Md Shah berkata, tindakan itu juga memperlihatkan politik dendam paling murahan yang langsung tidak mencerminkan kematangan, empati dan adab seorang pemimpin dalam negara berbilang kaum.
“UMNO menegaskan pendirian yang jelas dan konsisten: kami menghormati sepenuhnya keputusan Mahkamah serta kedaulatan undang-undang negara.
Namun, menghormati sistem kehakiman tidak bermaksud UMNO wajib berdiam diri apabila ada pihak yang menjadikan keputusan Mahkamah sebagai pentas sorakan politik, ejekan terbuka dan penghinaan ke atas maruah seorang tokoh negara yang pernah memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri.
Perbezaan ideologi politik tidak pernah dan tidak akan menghalalkan sikap angkuh, mengejek serta menari di atas penderitaan orang lain,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor itu.
Terdahulu menerusi Facebook, terdapat pemimpin DAP yang dikatakan “meraikan” keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Titah Adendum Najib sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi menjalani tahanan rumah.
Dalam kenyataan melalui Facebooknya, beliau berkata, tingkah laku tidak bermoral ini hanya mendedahkan wajah sebenar pihak yang kononnya melaungkan reformasi, tetapi gagal memahami nilai paling asas dalam kehidupan bernegara iaitu kemanusiaan dan adab.
Beliau berkata, dalam kerangka Kerajaan MADANI, UMNO kekal komited untuk menjaga kestabilan negara, keharmonian masyarakat dan kebajikan rakyat.
“Namun UMNO juga ingin menegaskan secara tegas dan tanpa berselindung bahawa kerjasama politik tidak boleh dibina atas penghinaan, keangkuhan dan usaha menghapuskan maruah rakan gabungan,” tegasnya.
Katanya, UMNO tidak pernah meminta campur tangan dalam urusan kehakiman tetapi UMNO tidak akan sesekali bersekongkol dengan budaya politik kebencian, apatah lagi cubaan menormalisasikan penghinaan terhadap institusi dan tokoh negara demi keuntungan politik sempit.
Sehubungan itu, UMNO dan kepemimpinan parti menyeru semua rakan dalam Kerajaan MADANI untuk menghormati adab dan akhlak dalam berpolitik.
UMNO juga mahu rakan-rakan dalam kerajaan menghentikan eksploitasi keputusan mahkamah untuk propaganda politik murahan dan mengingatkan bahawa kesabaran UMNO bukan tanda kelemahan, tetapi lambang kematangan
“Jika garis adab, prinsip dan maruah ini terus dilanggar, UMNO tidak akan teragak-agak untuk menilai semula pendirian serta pendekatan politiknya, demi menjaga prinsip parti, maruah perjuangan dan keyakinan rakyat.
UMNO akan terus berjuang, bukan dengan kebencian,bukan dengan sorakan di atas penderitaan, tetapi dengan prinsip, maruah dan tanggungjawab terhadap negara,” katanya.
Nnn
