Pengiktirafan bak kut teh tiada kaitan bangsa, agama

KUALA LUMPUR 13 Mac –  Pengiktirafan bak kut teh sebagai hidangan warisan negara tiada kaitan dengan isu bangsa atau agama, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Tiong King Sing.

Beliau berkata, bak kut teh bukan satu makanan yang baharu dan pengiktirafan berkenaan dibuat mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Kita tahu bahawa makanan bak kut teh dalam masyarakat ini, ada yang halal, yang tidak halal, bak kut teh vegetarian pun ada.

Perdana Menteri menubuhkan Kerajaan Madani, semua kaum kita jaga. Saya rasa tidak payah jelaskan panjang lebar,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memohon semua pihak termasuk ahli-ahli Dewan Rakyat saling hormat-menghormati pelbagai budaya dan agama di negara ini demi menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

King Sing juga meminta pihak pembangkang khususnya Pas agar jangan berpura-pura tidak faham mengenai makanan tersebut.

“Saya rasa saya tak payah jelaskan panjang lebar (mengenai bak kut teh) kerana dalam media sosial seperti Facebook, YouTube dan TikTok, semuanya sudah cukup jelas.

“Tanya Pas dulu fasal bak kut teh. Pas pun ada buat. Jangan pura-pura tak faham. Pas sudah perkenal bak kut teh (halal) pada 2018,” kata beliau sambil memaparkan poster berkaitan yang dugunakan parti pada satu kempen pilihan raya kecil.

Pada 24 Febuari lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin menyenaraikan 10 makanan yang diwartakan sebagai warisan .

Selain bak kut teh, makanan lain yang turut tersenarai adalah burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira.

Perkara itu menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Related posts

Leave a Comment