SEPANG 7 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Jamil Salleh menolak dakwaan bahawa beliau antara wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang akan turut memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor.
Katanya, laporan tular itu mengaitkan dirinya dan beberapa orang ADUN dan bagi pihaknya ia adalah tidak benar.
“Sebagai wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat khususnya di DUN Dengkil, saya akan terus menjadi semak imbang terhadap Kerajaan Negeri supaya lebih telus dan berintergriti dalam mentadbir kerajaan untuk rakyat Selangor.
“Dakwaan bahawa saya akan membelakangkan pendirian parti dan menyokong Menteri Besar Selangor adalah berniat jahat untuk merobek kekuatan Perikatan Nasional yang konsisten membela nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam ADUN Bersatu Selat Klang Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Amirudin Shari.
Rashid adalah wakil rakyat terbaharu dari Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Bagaimanapun Rashid kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai ADUN Selat Klang.
Jamil menjelaskan, sebagai Ahli Dewan Negeri beliau tetap memberi kerjasama kepada semua pihak demi membantu dan menyelesaikan masalah rakyat namun ketetapan dan pendiriannya di dalam PN tetap utuh dan tidak berubah.
NNNNN
